PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menyelar dakwaan pembangkang yang melabelkan 1 Julai sebagai ‘hari hitam’ susulan pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperbaharui.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa langkah kerajaan memperkemas struktur cukai itu adalah tindakan berani dan perlu demi memastikan kelangsungan ekonomi negara serta keadilan dalam agihan hasil.
“1 Julai bukan hari hitam. Ia simbol keberanian kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan untuk membina semula negara secara berhemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, kenyataan pembangkang khususnya PAS hanyalah cubaan populis yang bersifat emosi dan tidak bertanggungjawab, tanpa berpaksikan fakta dan pertimbangan rasional terhadap keperluan semasa negara.

Tegasnya, pelaksanaan SST yang dikemas kini itu tidak memberi kesan kepada rakyat kebanyakan kerana ia tidak dikenakan ke atas barangan asas seperti beras, ayam, telur, ikan, sayur, ubat-ubatan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
“Cukai ini menyasarkan barangan dan perkhidmatan mewah, bukan keperluan asas. Maka golongan berpendapatan tinggi yang lebih terkesan, bukan rakyat biasa,” katanya.
Menurut beliau, hasil kutipan cukai dan penstrukturan semula subsidi akan disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Warga Emas (BWE), Jualan Rahmah, subsidi bahan api, bantuan awal persekolahan dan program Klinik Madani.

“Tanpa sistem cukai yang efisien, kerajaan tiada pilihan selain terus bergantung kepada hutang. Adakah ini yang dicadangkan PAS, hutang demi hutang untuk tampung perbelanjaan negara?” katanya.
Beliau turut menjelaskan kadar SST Malaysia masih antara yang terendah di rantau ini iaitu 8 peratus, berbanding Singapura (GST 9%), Indonesia (VAT 11%), Filipina (VAT 12%) serta Vietnam dan Kemboja (VAT 10%).
Katanya, pembangkang hanya pandai mengkritik tanpa memberi cadangan membina, walhal ketika mentadbir negeri, mereka juga mengutip cukai bagi menampung pentadbiran.
“PAS dan pembangkang gagal memahami realiti mentadbir negara yang kompleks. Mereka menentang, tetapi tiada alternatif kukuh yang ditawarkan.
“Saya percaya rakyat tidak terpengaruh dengan permainan persepsi sempit yang dimainkan pembangkang. Rakyat semakin bijak menilai,” katanya.
Baca juga: