1 Parah, 4 Cedera Kemalangan Dua Kereta di Baling

BALING: Malam Isnin menyaksikan sebuah kemalangan jalan raya di Simpang 3, Hotel Bayu, di sini, melibatkan dua buah kenderaan persendirian iaitu Perodua Ativa dan Proton Wira.

Perlanggaran itu mengakibatkan seorang mangsa parah dan empat lagi cedera sehingga menyebabkan kesesakan hampir dua kilometer di laluan Baling-Kupang-Gerik.

Jurucakap bomba berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling telah bertindak pantas dalam operasi menyelamat.

“Seorang mangsa telah dibawa ke Hospital Baling menggunakan EMRS manakala seorang lagi yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan peralatan khas sebelum dirujuk ke hospital sama menggunakan ambulans KKM.

“Kesan pelanggaran turut menyebabkan tumpahan minyak di jalan yang meningkatkan risiko kepada pengguna lain.

“Pasukan bomba menggunakan aliran ‘hose reel’ bagi membersihkan kawasan sehingga operasi selesai sepenuhnya,” katanya.

Kes itu telah diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

Jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian 999 untuk bantuan segera.

Anda Mungkin Berminat