LOS ANGELES: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengarahkan penempatan 2,000 anggota Pasukan Pengawal Nasional ke Los Angeles pada Sabtu, susulan tunjuk perasaan yang tercetus akibat operasi imigresen oleh ejen persekutuan di bandar itu.
Menurut laporan Fox News, keputusan itu diumumkan oleh pegawai kanan sempadan, Tom Homan, yang mengesahkan bahawa anggota keselamatan akan dikerahkan pada malam Sabtu untuk mengawal keadaan yang semakin tegang.
Tunjuk perasaan tercetus di kawasan Paramount, tenggara Los Angeles, melibatkan kira-kira 100 penunjuk perasaan, sebahagiannya mengibarkan bendera Mexico dan memakai topeng pernafasan sebagai simbol membantah tindakan keras terhadap imigran.
Langkah Trump itu menerima kecaman daripada Gabenor California, Gavin Newsom, yang menyifatkannya sebagai “sengaja mencetuskan provokasi.”
Ketegangan turut dilihat antara kerajaan negeri dan persekutuan berikutan pendekatan berbeza dalam isu imigresen.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump menulis:
“Jika Gabenor Gavin Newscum dari California, dan Datuk Bandar Karen Bass dari Los Angeles, tidak mampu menjalankan tugas mereka seperti yang diketahui semua maka Kerajaan Persekutuan akan masuk campur dan selesaikan masalah rusuhan dan penjarahan seperti yang sepatutnya!”
Isu imigresen kekal menjadi antara keutamaan utama pentadbiran Trump dalam penggal keduanya, dan insiden ini sekali lagi menonjolkan jurang ketara antara pimpinan Republikan di peringkat persekutuan dan pentadbiran Demokrat di peringkat negeri dan bandar.