100 hari KSN pimpin agenda reformasi perkhidmatan awam

PETALING JAYA: Sudah 100 hari pertama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerajui perkhidmatan awam.

Beliau kini mengadakan mesyuarat dan perbincangan di Institut Pengurusan Antarabangsa (IMD) yang merupakan sebuah institusi kepimpinan dan pengurusan strategik yang diiktiraf di peringkat global yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland.

Menurutnya, sesi itu bertepatan dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang sedang dilaksanakan yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan melonjak daya saing negara.

“Perbincangan bersama pihak IMD memberi fokus kepada strategi memperkasakan modal insan, memanfaatkan teknologi digital dan menerapkan amalan pengurusan terbaik dalam organisasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Shamsul berkata, antara isu yang dibincangkan termasuklah pengukuhan budaya kerja berprestasi tinggi, pembangunan kepimpinan berintegriti, serta inovasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya mengambil peluang untuk mengemukakan beberapa persoalan mengenai data yang kurang tepat serta menerokai ruang penambahbaikan bersama-sama dengan pihak IMD,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan IMD membuka peluang untuk melaksanakan program latihan dan pembangunan yang mampu memperkasakan penjawat awam dalam menghadapi cabaran globalisasi dan perubahan teknologi.

Selain itu, katanya, ia juga membolehkan penerapan pendekatan baru dalam menguruskan perubahan, khususnya dalam aspek pengurusan sumber manusia dan pengoptimuman proses kerja.

Tambahnya, pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh daripada sesi itu amat penting sebagai input kepada usaha pembaharuan sektor awam, sejajar dengan visi untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih responsif, dinamik dan kompetitif.

“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa tetapi juga menegaskan komitmen kita terhadap reformasi yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat,” ujarnya.

Pada 12 Ogos yang lalu, Shamsul dilantik sebagai KSN yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 Ogos 2024.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan, pelantikan itu telah mendapat perkenanan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Anda Mungkin Berminat