100 Judul Karya Terbaik Malaysia-China Akan Diterjemah

PETALING JAYA: Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China terus diperkukuh dengan termeterainya beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) penting dalam pelbagai bidang petang semalam termasuk pendidikan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memeterai perjanjian kerjasama penterjemahan dan penerbitan karya-karya terbaik Malaysia dan China.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerjasama penterjemahan dan penerbitan itu akan dilaksanakan melalui Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan pihak negara China melalui National Press and Publication Administration of the People’s Republic of China.

Menurut beliau, ia akan melibatkan penerbitan dan penterjemahan karya-karya klasik terbaik kedua-dua negara di bawah projek Asian Classics Translation Programme.

Jelasnya, kerjasama berimpak tinggi dalam tempoh lima tahun itu merangkumi penterjemahan dan penerbitan antara 50 hingga 100 judul buku yang meliputi karya Sasterawan Negara, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award), karya Malaysiana dan karya klasik tempatan serta karya terbaik dari China.

“Saya percaya inisiatif ini akan dapat menggalakkan pertukaran judul karya terbaik, meningkatkan pemahaman silang budaya selain mengukuhkan hubungan sedia ada antara kedua-dua buah negara melalui diplomasi kesusasteraan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook pada Khamis.

Majlis bersejarah itu disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping sempena lawatan rasmi pemimpin tertinggi China ke Malaysia.

Semalam, sebanyak 31 MoU dimeterai Malaysia dan China yang merangkumi pelbagai bidang kerjasama strategik, termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pelancongan dan pendidikan.

KPM yang diwakili Fadhlina turut menandatangani MoU dengan Presiden dan Ketua Pengarang Kumpulan Media China (CMG), Shen Hai Xiong, khusus dalam bidang terjemahan dan penerbitan karya klasik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat