KUANTAN: Seramai 100 nelayan di Pantai Pelindung, Beserah menerima sumbangan berjumlah RM20,000 dalam bentuk wang tunai dan bakul makanan.
Sumbangan ini sempena program Majlis Santuni Al-Falah MADANI yang berlangsung di sini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hadir menyantuni komuniti nelayan setempat dalam program yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia.
Menurut Farhan, program seumpama ini memberi peluang untuk memahami lebih dekat kehidupan rakyat marhaen yang saban hari bergelut dengan cabaran di laut demi mencari rezeki halal.
“Di sebalik wajah yang tenang dan senyuman yang bersahaja, tersimpan kisah pengorbanan besar dalam perjuangan mereka di lautan.
“Kesempatan duduk semeja, bersarapan dan berbual secara langsung membuka ruang mendengar sendiri luahan dan harapan mereka,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah antara manifestasi sebenar Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, tanggungjawab sosial serta kepedulian terhadap golongan rentan.
“Kita mahu membina masyarakat yang saling menghargai, menyantuni dan membantu antara satu sama lain. Inilah wajah sebenar Malaysia MADANI,” tambahnya.
Majlis Santuni Al-Falah MADANI ini adalah sebahagian daripada program berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan komuniti nelayan terus diberi perhatian.