100,000 rakyat Malaysia ke Thailand tidak jejas pelancongan Negara – Pakar

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Peningkatan rakyat Malaysia melancong ke Thailand sehingga 100,000 baru-baru ini merupakan cerminan kepada pertumbuhan ekonomi positif Malaysia.

Penganalisis Ekonomi dari Sekolah Perniagaan Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pertambahan itu kerana rakyat Malaysia mempunyai lebih pendapatan untuk membolehkan mereka berbelanja sepenuhnya di sana.

“Untuk melancong ke mana-mana destinasi, sememangnya akan berdasarkan pelbagai faktor seperti pengalaman pelancongan yang menarik, kos pengangkutan, kos penginapan, kos penginapan, kos makanan dan kekukuhan mata wang.

“Saya melihat pertumbuhan ini sebagai satu langkah yang terbaik kerana kita juga turut menggalakkan kehadiran pelancong asing untuk datang ke Malaysia.

“Perkara ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada pertambahan hasil negara Malaysia,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Tidak seperti pendapat majoriti yang bimbang dengan pengaliran keluar wang Negara, Dr Razman berkata beliau tidak melihat aktiviti pelancongan tersebut sebagai satu perkara yang mampu menjejaskan ekonomi Malaysia.

“Hal ini kerana, Malaysia menarik lebih ramai pelancong asing dan pengendali pelancongan tempatan juga akan memastikan tempat di Malaysia untuk terus kekal menarik untuk dikunjungi.

“Akan tetapi, kerajaan boleh menyediakan insentif-insentif baharu untuk menaiktaraf kemudahan pelancongan di Malaysia kearah yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan hampir 100,000 pelancong Malaysia memanfaatkan cuti panjang hujung minggu sempena sambutan Hari Malaysia untuk bercuti di wilayah Selatan Thailand. Mereka menyumbang lebih daripada 1 bilion Baht (RM129 juta) kepada ekonomi tempatan.

Anda Mungkin Berminat