102 sekolah di KL, Selangor laksana PdPR sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

KUALA LUMPUR: Sebanyak 102 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor dibenarkan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 23 hingga 29 Oktober ini sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid tidak terjejas susulan penutupan jalan dan kawalan keselamatan yang dijalankan sepanjang tempoh sidang kemuncak berkenaan.

“Kebenaran ini mengambil kira situasi trafik serta keperluan keselamatan di kawasan sekitar lokasi penganjuran bagi memastikan proses pembelajaran murid berjalan lancar,” jelas kenyataan itu pada Sabtu.

KPM turut menasihatkan ibu bapa, penjaga, murid dan guru agar merujuk kepada saluran rasmi sekolah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan PdPR dan BDR.

“Pengalaman melaksanakan PdPR dan BDR ketika pandemik serta semasa penganjuran Sidang ASEAN pada Mei lalu menjadi asas penting bagi memastikan pembelajaran terus berjalan,” kata kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan, pelaksanaan PdPR kali ini bukan sahaja menjamin kesinambungan akademik, tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah sepanjang tempoh berkenaan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menghimpunkan pemimpin tertinggi negara anggota bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk ekonomi, keselamatan serta kerjasama strategik ASEAN.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat