11 barangan disenarai bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali telah mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 akan berkuat kuasa bermula 6 Februari hingga 14 Februari nanti.

Tempoh pelaksanaan skim itu adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari selepas perayaan dan sebanyak 11 barangan akan diwartakan.

“Antara senarai barangan adalah seperti udang putih ((berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor), khinzir hidup, daging khinzir (perut) dan daging khinzir (daging dan lemak).

“Kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), ubi kentang import (China), bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah,” katanya kepada pemberita di Dewan Terbuka, SJK (C) Cheng Hwa, Papar, Sabah.

Difahamkan, pelaksanaan tersebut dilaksanakan bagi mengurangkan bebanan rakyat yang ingin menyambut perayaan dengan pembelian barang makanan.

Tambahnya, skim harga tersebut akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AHKAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Pada masa yang sama, semakan harga terhadap pemborong dan peruncit juga akan dilakukan bagi memantau kenaikan harga yang melampau atau secara mendadak sepanjang sebelum dan selepas perayaan setelah pelaksanaan Skim Harga dilaksanakan.

“Semakan harga boleh dibuat melalui lama sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat