PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa syukur dan keyakinan atas pencapaian Malaysia sepanjang 11 hari yang penuh bermakna.
Dalam tempoh tersebut, Anwar telah memenuhi undangan lawatan rasmi dan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatan dari 19 negara yang sekali gus mengeratkan hubungan antarabangsa dan membuka jalan kepada peluang baharu untuk kemakmuran rakyat dan negara.
“Dalam pelbagai pertemuan rasmi dan dialog tersebut, usaha tertumpu kepada aspek memantapkan kerjasama dalam pelaburan, perdagangan dan inisiatif bersama yang bermanfaat dan dirasai oleh rakyat khususnya serta komuniti ASEAN amnya,” katanya.
Beliau menekankan bahawa semangat kebersamaan dan sikap masyarakat antarabangsa yang mengambil serius pandangan Malaysia adalah lebih berharga daripada pencapaian atau perjanjian yang termeterai.
Anwar juga mengumumkan bahawa beliau akan menerima kunjungan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam di Putrajaya esok (Khamis) dan akan berangkat ke Korea Selatan pada Ahad untuk meneroka peluang ekonomi baharu serta mengukuhkan kerjasama yang sedia erat antara kedua-dua negara.
“Saya dan pasukan juga sedang merangka persiapan menerima kunjungan rasmi barisan pemimpin utama dari pelbagai negara pada Disember nanti, Insya-Allah,” katanya.
Beliau juga berharap agar setiap usaha ini terus diberkati dan menjadi asas trajektori baharu masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia.

“Saya dan pasukan Kerajaan MADANI akan terus mendengar, berkhidmat dan mengangkat darjat serta martabat rakyat serta negara di persada dunia,” tegas Anwar.
Terdahulu, Anwar dan delegasi telah menyempurnakan pelbagai tugasan dan tanggungjawab untuk menghadiri pelbagai program di empat buah negara iaitu Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil.