KUALA LUMPUR: Malaysia kini berdepan ancaman serius jenayah seksual kanak-kanak dalam talian apabila seramai 117 individu berkaitan aktiviti pedofilia dan eksploitasi seksual kanak-kanak ditahan menerusi empat operasi utama sejak 2024 hingga 2026.
Berdasarkan data operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pihak berkuasa turut merampas lebih 1.4 juta fail digital pornografi termasuk sekurang-kurangnya 204,934 fail Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang disahkan.
Dalam tempoh sama, sebanyak 162 lokasi diserbu dan 272 peranti elektronik dirampas bagi membantu siasatan berkaitan jenayah seksual kanak-kanak dalam talian.
Daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 101 individu telah didakwa di mahkamah.
Perkembangan tersebut menunjukkan ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian bukan lagi isu terpencil, sebaliknya semakin tersusun dan membimbangkan.

Susulan itu, kerajaan melihat keperluan untuk memperkenalkan inisiatif pengesahan umur dan jaminan umur bagi pengguna media sosial bawah 16 tahun sebagai langkah perlindungan tambahan terhadap golongan kanak-kanak.
Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk akses kepada kandungan pornografi ekstrem, eksploitasi seksual dalam talian, pemangsaan digital oleh pedofil, aktiviti “grooming” serta interaksi tidak selamat di platform media sosial.
Menurut sumber, pengesahan umur bukan bertujuan menyekat akses kanak-kanak kepada teknologi, sebaliknya memastikan platform digital memainkan tanggungjawab lebih besar dalam menyediakan persekitaran internet yang lebih selamat dan sesuai dengan umur pengguna.
“Apabila lebih 200,000 kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak berjaya dikesan dan lebih 100 pedofil ditahan dalam tempoh dua tahun, ini bukan lagi isu kecil. Ini ancaman serius terhadap keselamatan anak-anak kita,” menurut kenyataan media ringkas mengenai inisiatif berkenaan.
Pendekatan itu juga dilihat penting bagi memastikan platform media sosial lebih bertanggungjawab dalam mengawal kandungan berisiko tinggi serta melindungi pengguna bawah umur daripada eksploitasi digital.
Kerajaan turut menegaskan keselamatan kanak-kanak dalam talian memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan kerajaan, platform digital, ibu bapa dan masyarakat bagi mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat untuk generasi muda.
Baca juga:








