12 pelajar tahfiz terselamat dalam kebakaran di Simpang Renggam

KLUANG: Seramai 12 pelajar sebuah pusat tahfiz di Kampung Chokro, Simpang Renggam berjaya menyelamatkan diri selepas bangunan yang mereka diami terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Pegawai Penjaga Balai (PPgB), Mohd Nizar Ma’mun, selaku Komander Operasi, memaklumkan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 pagi.

Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, BBP Ayer Hitam serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Renggam segera dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat berstruktur separuh kekal yang dijadikan pusat tahfiz. Api sedang marak membakar bangunan berukuran 70 x 50 kaki itu,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman dengan mendapatkan bekalan air dari pili bomba yang terletak dua kilometer dari lokasi kejadian.

Proses pemadaman dilakukan secara ulang-alik sehingga api berjaya dikawal pada pukul 2.27 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.07 pagi.

Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 70 peratus daripada bangunan pusat tahfiz berkenaan.

Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat