BEIJING: Sebanyak 120 syarikat besar China menyertai Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China yang berlangsung di sini petang tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan itu mencerminkan keyakinan mendalam terhadap hubungan erat kedua-dua negara.
Beliau menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam sektor semikonduktor, nadir bumi, ekonomi biru, pendidikan dan penyelidikan.
“Malaysia memiliki kekuatan politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas, termasuk Strategi Semikonduktor Nasional, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan serta agenda peralihan tenaga,” katanya.
Anwar turut menyebut projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai bukti manfaat inisiatif Belt and Road, malah kerajaan sedang membincangkan kemungkinan melanjutkannya hingga ke sempadan Thailand.
Katanya, Malaysia kini muncul sebagai hab semikonduktor dan tenaga rantau ini dengan banyak syarikat antarabangsa termasuk dari China memilih negara ini sebagai pusat operasi.
“Semangat tokoh perniagaan Malaysia, Robert Kuok, yang kekal melabur di China pada 1989 patut menjadi pedoman. Keyakinan dan keikhlasan adalah asas dalam membina kepercayaan,” katanya.
Baca juga: