125,000 pembantu tadbir naik Gred 5 mulai Januari 2027

PUTRAJAYA: Seramai kira-kira 125,000 pembantu tadbir yang kini berada pada Gred 1 akan menikmati kenaikan ke Gred 5 bermula Januari 2027.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kenaikan gred itu melibatkan 106,722 jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dan 20,106 jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan).

Beliau memaklumkan, penambahbaikan tersebut dilaksanakan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama Shamsul Azri Abu Bakar selaku Ketua Setiausaha Negara Malaysia serta Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia berhubung pelaksanaan sistem berkenaan.

“Bagi menambah baik peluang laluan kerjaya, saya telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menyediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5.

“Ini melibatkan kira-kira 125,000 Pembantu Tadbir dalam bidang perkeranian dan kewangan,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Menurut Anwar, walaupun pelaksanaan SSPA menyediakan kenaikan gaji, kerajaan melihat keperluan untuk meningkatkan gred jawatan bagi kumpulan yang berada pada kategori rendah.

Beliau berkata, pembantu tadbir yang terlibat perlu mengikuti kursus pendek selama dua minggu sebagai syarat sebelum kenaikan gred dilaksanakan.

“JPA sedang menguruskan cadangan ini. Kursus itu bertujuan memberi sedikit pendedahan kepada mereka mengenai asas Teknologi Maklumat (IT).

“Kita sasarkan dalam tempoh enam bulan kursus untuk 125,000 pembantu tadbir ini dapat diselesaikan supaya kenaikan gred boleh dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Azri berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan menambah baik pelaksanaan SSPA dengan mengambil kira pelbagai pandangan.

Menurutnya, syarat utama bagi kenaikan gred berkenaan ialah pembantu tadbir perlu mengikuti kursus yang ditetapkan.

“Kita akan memulakan pelaksanaan pada Januari 2027 dan dalam tempoh enam bulan ini kita akan memperincikan syarat-syarat yang diperlukan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat