13 Lagu Wajib Peminat Hafal Sebelum Konsert Elite Live ’25

Oleh: Aliyaa Azmi

BERBAKI dua hari lagi Elite bakal menggegarkan Plenary Hall, KLCC iaitu pada 20 September ini menerusi konsert pertama mereka selepas lebih dua dekad tidak beraksi bersama di pentas besar.

Bagi memastikan aura malam itu benar-benar dirasai, peminat disarankan menghafal sekurang-kurangnya 13 lagu wajib yang pernah menjadi siulan ramai sejak era 90-an.

Antara yang bakal mengimbau nostalgia ialah Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Dalam Dirimu, Di Pintu Syurga, Tak Tahu dan Catwalk.

Lagu-lagu lain yang turut dijangka menghiasi senarai setlist termasuk G.I.G, Selamat Tinggal Teman serta Idola yang pernah mengangkat nama mereka ke puncak populariti.

Setiap lagu membawa cerita tersendiri – daripada mesej keteguhan wanita dalam Tamparan Wanita, getar emosi dalam Trauma, hinggalah kemanisan cinta remaja melalui Manisnya Senyumanmu.

“Kami mahu berikan yang terbaik. Walaupun gementar kerana sudah lama tidak buat persembahan besar, latihan vokal dan stamina sedang dipertingkatkan,” kata Linda Rafar menerusi perkongsian di media sosial.

Selain latihan vokal, setiap ahli juga menjaga diet harian dan rutin kecergasan supaya kekal bertenaga untuk bertahan sepanjang konsert berdurasi lebih dua jam itu.

Tema konsert, Catwalk, bukan sahaja merujuk kepada lagu hit mereka, tetapi juga menggambarkan persembahan penuh gaya. Peminat malah digalakkan hadir dengan busana glamor kerana karpet merah turut disediakan sebagai pembuka tirai.

Harga tiket bermula RM268 hingga RM1,088 dengan kategori VVIP termasuk sesi bertemu peminat.

Bagi penggemar muzik 90-an, inilah peluang mengimbau kenangan indah dan menyanyikan kembali lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada zaman remaja mereka.

BACA JUGA:

Anda Mungkin Berminat