13 lelaki ditahan dalam operasi ‘Op Pedo’ di enam negeri

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Seramai 13 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 74 tahun ditahan dalam serbuan serentak di enam negeri menerusi operasi bersepadu ‘Op Pedo’, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi yang dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor, dan Terengganu itu dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Operasi itu bertujuan membanteras jenayah seksual kanak-kanak secara dalam talian, khususnya berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

“Hasil pemeriksaan ke atas peranti suspek di premis kediaman masing-masing, pihak polis menemui kira-kira 40,000 bahan CSAM dan bahan pornografi dewasa,” katanya.

Menurut Razarudin, antara barangan yang dirampas ialah tujuh komputer, satu komputer riba, 11 telefon bimbit, serta 16 modem dan router.

Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Dilaporkan, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas kesalahan memiliki CSAM dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

Polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat dalam jenayah ini.

Katanya lagi, orang ramai, khususnya golongan muda dan kanak-kanak, diingatkan untuk menjaga batas moral semasa bersosial dalam talian dan melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat