PARLIMEN | Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan seramai 13 rakyat Malaysia masih berada di Iran dan memilih untuk tidak pulang ke tanah air walaupun dinasihatkan berbuat demikian.
Katanya, kesemua individu terbabit termasuk pelajar telah beberapa kali dinasihatkan supaya kembali ke Malaysia.
“Namun ada yang enggan pulang. Justeru, 13 individu ini masih berada di Iran dan kita telah meminta mereka menandatangani surat indemniti.
“Surat itu menyatakan mereka tidak boleh menyalahkan kerajaan kerana kita telah menawarkan bantuan untuk membawa mereka pulang tetapi mereka memilih untuk kekal di sana atas kerelaan sendiri,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berhubung pelan evakuasi serta jumlah rakyat Malaysia yang masih berada di Iran.
Mohamad berkata, Wisma Putra telah mengeluarkan nasihat perjalanan sebanyak dua kali agar rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Iran kecuali atas urusan penting.
“Ada juga yang masih ke sana. Dalam keadaan semasa, apa-apa kemungkinan boleh berlaku,” katanya.
Beliau turut mengimbas pelaksanaan pelan pemindahan tahun lalu yang memerlukan perjalanan darat sejauh kira-kira 1,200 kilometer dari Tehran ke Ashgabat, Turkmenistan.
Mengulas pendirian Malaysia sekiranya tercetus konflik di Iran, beliau menegaskan Malaysia konsisten dengan dasar berkecuali dan sentiasa mendukung keamanan.
“Mana-mana pihak yang melakukan pencerobohan, peperangan atau keganasan akan kita kutuk tanpa mengira siapa. Kita berpegang kepada dasar keamanan dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
Baca juga:








