PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh kawalan sempadan dan menjamin keselamatan negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menolak kemasukan 131 warga asing yang gagal mematuhi syarat kemasukan Malaysia dalam satu operasi bersepadu di Terminal 1, Jumaat lalu.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, operasi yang berlangsung dari pukul 3 petang hingga 10 malam itu melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas lebih 300 individu di Balai Ketibaan Antarabangsa serta Pintu Perlepasan C1 hingga C37.
“Profil individu ditolak masuk ialah 96 lelaki dari Bangladesh, 30 lelaki dari Pakistan dan lima warga Indonesia (4 lelaki, 1 wanita),” kata kenyataan itu.
Menurut AKPS, pelanggaran yang dikesan termasuk tempahan penginapan meragukan, kegagalan melapor diri di kaunter imigresen dan wang sara diri yang tidak mencukupi.
“Sebagai contoh, ada individu yang mendakwa ingin menetap di Malaysia selama sebulan tetapi hanya membawa wang sekitar RM500, yang jelas tidak munasabah dan menimbulkan keraguan terhadap niat sebenar mereka untuk memasuki negara ini,” menurut kenyataan AKPS.
AKPS menjelaskan bahawa faktor kewangan sering dijadikan penunjuk utama untuk mengenal pasti sama ada pelawat benar-benar datang untuk tujuan pelancongan atau sebaliknya.
Katanya, ini selaras dengan prinsip kawalan imigresen antarabangsa yang menekankan bahawa pelawat tidak boleh menjadi beban kepada negara yang dikunjungi.
AKPS berkata, keselamatan dan kedaulatan sempadan negara akan terus menjadi keutamaan.
Tambahnya, sebarang cubaan untuk memasuki Malaysia melalui pemalsuan dokumen atau niat yang meragukan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
“Pelawat asing diingatkan supaya memastikan dokumen perjalanan lengkap dan sah, tempahan penginapan munasabah dan bukti kewangan mencukupi dan realistik,” katanya.