14 barangan bawah skim harga maksimum sempena Krismas

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Krismas dari 23 hingga 27 Disember 2024.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 14 jenis barangan akan dikawal harganya.

“Ia sebagai satu usaha untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan semasa musim perayaan.

“Antara barangan yang terlibat dalam skim ini termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import, lobak merah, ubi kentang import, cili merah, bawang merah besar import dan bawang kuning besar import.

“Ini termasuk ayam tua hidup (Sarawak sahaja), kepak ayam (Sarawak sahaja), babi hidup (ladang sahaja) (Sarawak sahaja), daging babi (perut) (Sarawak sahaja) dan daging babi (daging dan lemak) (Sarawak sahaja).

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman SHMMP Krismas 2024 dan Program Jualan Rahmah Madani Krismas di Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Armizan, harga untuk setiap barangan tersebut adalah berbeza mengikut kawasan dan langkah ini diambil untuk memastikan kestabilan harga serta menjaga kepentingan pengguna sepanjang musim perayaan.

Anda Mungkin Berminat