14 rakyat Palestin maut akibat ribut melampau

Oleh: Tyah Helmi

GAZA: Sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dilaporkan maut manakala beberapa yang lain cedera akibat Ribut Byron yang melanda Semenanjung Gaza.

Hal itu amat menyedihkan ketika penduduk dipaksa berpindah akibat serangan Israel berdepan runtuhan struktur dan cuaca sejuk melampau.

Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara Gaza memaklumkan, angin kencang disertai hujan lebat menyebabkan beberapa bangunan dan struktur sementara runtuh, menimpa keluarga yang berlindung di kawasan penempatan pelarian.

“Lima individu terkorban pada awal pagi Jumaat selepas sebuah rumah yang menempatkan penduduk berpindah di Bir an-Naaja, utara Gaza, runtuh akibat ribut berkenaan.

“Ketika waktu subuh, dua lagi mangsa dilaporkan maut apabila sebuah tembok runtuh dan menghempap khemah di kawasan kejiranan Remal, Gaza City,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Manakala, sehari sebelumnya, seorang individu meninggal dunia akibat runtuhan struktur di kem pelarian Shati, manakala seorang bayi baru lahir di al-Mawasi disahkan meninggal dunia akibat kesejukan melampau.

Petugas perubatan di Gaza turut melaporkan peningkatan kematian berkait pendedahan kepada cuaca sejuk. Sumber di Hospital al-Shifa memaklumkan kepada Al Jazeera Arabic bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Hadeel al-Masri, meninggal dunia di sebuah pusat perlindungan di barat Gaza City, manakala bayi Taim al-Khawaja meninggal dunia di kem Shati.

Di Khan Younis, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, Rahaf Abu Jazar, dilaporkan maut selepas khemah keluarganya dinaiki air hujan. Ahli keluarga memaklumkan, mereka berlindung di sebuah rumah yang rosak dan tidak berbumbung selepas kediaman mereka musnah akibat serangan udara Israel.

Datuk bayi berkenaan berkata, keadaan Rahaf semakin kritikal apabila suhu badannya menurun antara 33 hingga 34 darjah Celsius, sekali gus menjejaskan fungsi organ dalaman. Keadaan itu menyebabkan kerosakan otak sebelum bayi tersebut menghembuskan nafas terakhir.

Ribut berkenaan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di Gaza, ketika ribuan keluarga Palestin terus hidup dalam keadaan serba kekurangan tanpa perlindungan mencukupi di tengah konflik yang berlarutan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat