PETALING JAYA: Beberapa rumah dan lot kedai di Pantai Dalam musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Menurut laporan media tempatan, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.11 malam berhubung kejadian tersebut.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Dalam bersama pasukan bantuan dari BBP Hang Tuah dan BBP Hartamas telah digerakkan ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebakaran bermula di kawasan perumahan sebelum merebak ke empat buah kedai termasuk Mydin Mart.
“Rumah setinggan berkeluasan 100×80 kaki persegi terbakar 80 peratus dengan 14 rumah terlibat,
“Bagi premis kedai, kebakaran melibatkan keluasan 200×120 kaki persegi. Tingkat satu Mydin Mart terbakar 90 peratus manakala tingkat bawah 20 peratus, manakala tiga kedai lain terbakar 90 peratus.” tambahnya.
Seramai 36 anggota dari empat balai bomba iaitu Balai Pantai, Seputeh, Seri Hartamas dan Hang Tuah dikerahkan ke lokasi sejurus menerima laporan.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Baca juga;