143 Warga Asing Ditahan dalam Serbuan Imigresen di Jalan TAR

KUALA LUMPUR: Suasana di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bertukar kecoh apabila serbuan besar-besaran oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilakukan petang semalam.

Operasi yang dikenali sebagai Op Kutip itu bermula sekitar pukul 2.30 petang hasil aduan awam dan risikan selama seminggu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, seramai 964 individu diperiksa dalam operasi tersebut yang terdiri daripada 273 warga asing dan 691 warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 143 warga asing berusia antara 22 hingga 48 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada 110 lelaki dan 33 wanita,” katanya menerusi hantaran di Facebook DBKL.

Tambahnya, mereka yang ditahan termasuk 56 warga Indonesia, 32 Pakistan, 26 Bangladesh, 10 India, 10 Myanmar, empat Syria, tiga Nepal, serta masing-masing seorang dari Afghanistan dan China.

Kesalahan yang dikesan meliputi ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh, melanggar syarat pas serta penggunaan kad tidak sah.

Beliau berkata, ketika operasi berlangsung, segelintir warga asing bertindak agresif dengan merempuh anggota penguat kuasa, melakukan provokasi serta bersembunyi di bilik persalinan, bawah tangga, stor dan tandas.

“Ada juga individu enggan membuka pintu, menyembunyikan warga asing dan menyorok dokumen penting, menyebabkan proses pemeriksaan mengambil masa lebih lama,” jelas Jafri.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan tempatan agar tidak menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), kerana mereka boleh dikenakan tindakan mengikut beberapa perundangan termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, serta Akta ATIPSOM 2007.

Setakat 15 Mei lalu, JIM telah melaksanakan 5,090 operasi di seluruh negara dengan pemeriksaan terhadap 67,574 individu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 34,615 PATI serta 680 majikan telah ditahan.

Anda Mungkin Berminat