144 Projek Bernilai RM14 Bilion Dilaksana Di Sabah – PM

TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah adalah kunci utama dalam menjayakan pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri itu.

Anwar berkata, kerajaan telah melaksanakan 144 projek pembangunan di Sabah dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14 bilion termasuk naik taraf Hospital Tawau, Penjara Lahad Datu, pembinaan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar serta cadangan Pusat Perubatan Jantung di Kota Kinabalu.

“Kita lakukan yang terbaik untuk rakyat… menyelesaikan isu-isu seperti bekalan elektrik dan kos tenaga, pendidikan anak-anak, kemudahan tandas, makmal sains, keperluan polis dan tentera termasuk perumahan, serta membaiki jalan-jalan rosak,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) Sabah 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada Ahad.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri Kabinet Persekutuan serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Negara., Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam ucapan itu, beliau mengakui bahawa masih ada cabaran yang belum selesai, namun menegaskan banyak pencapaian telah direkodkan dalam tempoh lebih dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Memang ada yang kata masih belum cukup dan saya setuju, kerana sebahagian isu adalah warisan lama dan tidak boleh diselesaikan dalam masa setahun dua,” tambah beliau.

Sementara itu, Anwar menegur pemimpin-pemimpin yang pernah memegang jawatan tinggi termasuk di Parlimen tetapi sering bercakap mengenai pembangunan Sabah dengan cara berkonfrontasi terhadap Semenanjung atau Kerajaan Persekutuan.

“Semenanjung tidak akan maju, Sarawak tidak akan maju, Sabah tidak akan maju jika kita tidak bersatu dan bekerjasama untuk mengangkat negara ini. Kita mesti faham perkara ini betul-betul.

“Lihat negara-negara lain, saban hari ada berita perpecahan antara kaum, wilayah, agama. Kenapa? Kerana pemimpin mereka menghasut perpecahan dan bila berkuasa, mereka tidak fikir tentang rakyat,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa pemimpin seperti itu, apabila diberi amanah oleh rakyat untuk mentadbir negara, Parlimen dan kerajaan, telah gagal melaksanakan tanggungjawab dan sebaliknya selepas kehilangan kuasa, berusaha memecah-belahkan rakyat.

Anda Mungkin Berminat