145 Delegasi Freedom Flotilla Dijangka Tiba di Pelabuhan Israel Awal Pagi Khamis

SERDANG: Kesemua 145 delegasi misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Miles to Gaza (TMTG) termasuk sembilan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel dijangka tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel, tengah malam Rabu waktu tempatan atau awal pagi Khamis waktu Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan kelajuan kapal yang kini dikendalikan oleh tentera Israel.

“Pada waktu ini (6 petang waktu Malaysia), kapal sedang dipandu tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod pada kelajuan 10 hingga 11 knot. Dengan kelajuan ini, kami menjangka ia akan mengambil masa antara 10 hingga 11 jam untuk tiba,” katanya pada sidang media perkembangan misi tersebut di sini, Rabu.

Beliau menambah, komunikasi dengan kapal dijangka terputus lebih lama berikutan kawalan ketat rejim Israel yang mahu memastikan semua delegasi tiba pada waktu malam.

Kamarul Zaman menjelaskan, pintasan ke atas kapal berlaku antara 10.30 hingga 10.50 pagi waktu Malaysia, dan seperti misi flotilla sebelum ini, kapal yang ditawan akan diambil alih sepenuhnya oleh tentera Israel.

“Biasanya peserta tidak akan memandu kapal ke Pelabuhan Ashdod kerana matlamat mereka adalah ke Gaza. Namun, kapal kini dikawal sepenuhnya oleh pihak tentera,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah berhubung dengan Menteri Luar Turkiye, Hakkan Fidan, bagi menyelaras usaha membawa pulang sembilan rakyat Malaysia bersama 21 delegasi Turkiye ke Istanbul sebaik proses siasatan selesai.

Delegasi Malaysia terdiri daripada empat doktor perubatan — Dr Fauziah Hassan, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, dan Dr Hafiz Sulaiman yang berada di atas kapal Conscience, manakala Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal UMM Saad.

“Mereka berperanan sebagai pasukan perubatan dalam misi ini yang bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan, tetapi juga disertai doktor dan wartawan antarabangsa sebagai tanda solidariti terhadap ribuan nyawa petugas perubatan dan media yang terkorban di Gaza,” katanya.

Menurutnya, pasukan peguam antarabangsa telah bersedia di Ashdod untuk mengendalikan urusan semua delegasi sebaik mereka tiba, dengan proses siasatan dijangka bermula pada Khamis pagi.

“Kami berharap urusan ini dapat diselesaikan sebelum hujung minggu bagi mengelakkan kelewatan kerana pejabat kerajaan Israel ditutup pada Jumaat dan Sabtu,” ujarnya.

Kamarul Zaman turut menyatakan bahawa kerjasama kerajaan Turkiye diharap dapat mempercepatkan urusan pelepasan dan penghantaran pulang para delegasi, seperti yang berlaku dalam insiden Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa misi FFC x TMTG dijalankan mengikut undang-undang antarabangsa dan berada di luar bidang kuasa Israel, justeru tindakan rampasan itu dianggap tidak sah.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengecam tindakan penculikan ini serta menuntut pembebasan segera semua sukarelawan.
Kami juga mendesak agar sekatan haram dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat