1,470 Pembantu Guru Antara Enam Berita Gembira Diumum Fadhlina

KUCHING: Sempena sambutan Hari Guru ke-54 yang diraikan hari ini, sebanyak enam berita gembira diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Fadhlina mengumumkan perkara itu dalam ucapan aluannya sempena sambutan berkenaan yang dihadiri kira-kira 5,000 guru.

“Inisiatif pertama adalah permohonan pertukaran guru boleh dibuat selepas berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat.

“Kedua, Kementerian Pendidikan (KPM) turut menyediakan seramai 1,470 orang personel MyPg iaitu pembantu guru bagi tahun ini dan sekolah terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima dua pembantu guru terbabit,” katanya.

Bagi inisiatif ketiga, seramai 32 guru dalam kalangan penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan bakal melalui pengalaman di sekolah antarabangsa di United Kingdom.

Pemberian secara percuma itu menerusi Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).

“Inisiatif keempat, KPM akan menghantar guru dan pegawai terpilih untuk mengikuti Program Kursus Jangka Pendek di luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih.

“Kelima, diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket kapal terbang kepada guru ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM.

“Keenam, diskaun buku antara 20 peratus hingga 30 peratus bagi pembelian secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat