15 Kes Penyakit Terkait Cuaca Panas Direkod, Satu Kematian Dilapor

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas sejak 1 Januari hingga semalam (Selasa), hasil pemantauan berterusan di seluruh negara.

Menurut kenyataan KKM, daripada jumlah itu, 11 kes melibatkan kelesuan haba, satu kes kejang haba dan tiga kes strok haba.

“Semua kes telah pulih kecuali satu kes melibatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan tanpa disedari ibu bapa, yang meninggal dunia akibat strok haba,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang memaklumkan beberapa kawasan kini berada pada Tahap Amaran 1, iaitu keadaan berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

KKM berkata, cuaca panas melampau boleh menjejaskan kesihatan manusia dengan gejala bermula daripada tahap ringan seperti sakit kepala, keletihan dan pening, sehingga kepada keadaan lebih serius seperti dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri.

“Dalam kes yang teruk, ia boleh membawa kepada koma dan kematian,” menurut kenyataan itu lagi.

KKM turut berkata, semua individu berisiko terdedah kepada penyakit berkaitan cuaca panas terutama kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik, serta mereka yang bekerja atau melakukan aktiviti fizikal di bawah cuaca panas.

Sehubungan itu, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas digesa mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat cuaca panas.

Anda Mungkin Berminat