ALOR GAJAH: Jawatankuasa siasatan kini sedang menjalankan siasatan terhadap 15 pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dikenal pasti terlibat dalam amalan budaya tidak bermoral ‘yeye’, sebelum sebarang tindakan tegas termasuk pendakwaan di Mahkamah Tentera diputuskan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setiap kes dikendalikan secara terperinci bagi memastikan pegawai yang terlibat tidak terlepas daripada hukuman sekiranya didapati melanggar peraturan disiplin serta mencemarkan imej dan budaya ketenteraan.
Menurutnya, sistem perundangan ketenteraan menyediakan Mahkamah Tentera sebagai platform pengadilan terhadap mana-mana anggota yang didapati bersalah.
“Jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan bagi meneliti setiap kes secara teliti. Pegawai yang terlibat akan diberikan peluang untuk menjawab tuduhan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Ahad.

Adly menegaskan bahawa budaya hedonisme sama sekali tidak boleh diterima dalam angkatan tentera dan kementerian kekal komited dalam membentuk budaya berintegriti dalam kalangan warga pertahanan, meskipun perubahan budaya dalam sesebuah organisasi memerlukan masa.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar pengorbanan serta jasa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak dipandang ringan hanya disebabkan kesalahan segelintir individu.
Menurutnya, seramai lebih 100,000 anggota ATM yang sedang berkhidmat serta kira-kira 300,000 veteran telah banyak berkorban, termasuk masa, tenaga dan kepentingan keluarga, malah ada yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Mereka telah mengorbankan masa, keluarga dan kepentingan peribadi, malah ada yang mengorbankan nyawa demi negara. Justeru, tidak timbul soal mempertikaikan pengorbanan tersebut.
“Sekiranya ada pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan, tindakan tegas akan diambil, namun kepercayaan kita terhadap anggota pertahanan negara tidak pernah berbelah bahagi,” katanya.
Baca juga:








