Seramai 4,398 individu termasuk 15 penjawat awam ditahan dalam Op Pemutihan / Op Tapus yang dijalankan oleh Polis Kontinjen Johor bermula 1 Januari hingga 29 Februari 2024.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ini bertujuan untuk mengambil tindakan atas semua aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan menyasarkan kawasan panas iaitu di Felda dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Ketua Polis Johor, CP M. Kumar S. Muthuvelu berkata, seramai 8,273 orang telah diperiksa manakala 4,451 daripada mereka telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.
“209 daripada jumlah tangkapan merupakan warganegara asing dan keseluruhan tangkapan melibatkan individu berumur 18 hingga 70 tahun manakala 624 dari yang ditahan berstatus orang dikehendaki (wanted person).
“Mereka yang ditahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di samping Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (LLPK) 1985 mengikut kesalahan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, polis turut merampas dadah bernilai RM6.98 juta termasuk dadah jenis heroin, syabu, ganja, ekstasi dan banyak lagi sementara sitaan terhadap harta sindiket bernilai RM3.56 juta.
Baca juga: