15,000 penonton ‘serap’ nasionalisme di Konsert Jiwa Malaysia

Oleh: Shafira Aziz

KONSERT Jiwa Malaysia yang diadakan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu berjaya mengumpul seramai 15,000 pengunjung yang bersemangat menyokong penyanyi lokal.

Kemeriahan konsert tersebut dapat dirasai sebaik sahaja langkah pertama diambil ke dalam stadium.

Sorakan, tepukan gemuruh dan tenaga para peminat membangkitkan semangat nasionalisme yang mendalam, menjiwai suasana bulan kemerdekaan.

Udara malam terasa hangat bukan sahaja dengan suasana tropika tetapi dengan keghairahan dan keterujaan yang melimpah ruah daripada penonton yang hadir.

Konsert yang diadakan bersempena dengan bulan kemerdekaan negara itu diserikan oleh barisan artis terkenal seperti Insomniacks, Bunkface, Spider, Hujan dan ramai lagi.

Tirai konsert tersebut dimulakan dengan penyanyi kelahiran Borneo, Bella Astillah yang menyanyikan dua buah lagu termasuk Kurik Kundi yang merupakan lagu asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Terlalu Cinta nyanyian asal penyanyi Indonesia, Rossa.

Kemudian, tiba giliran kumpulan wanita negara, Dolla membuat persembahan dengan beberapa buah lagu mereka termasuk Classic dan Watch Me Glow.

Setiap gerakan tarian Dolla yang lincah memeriahkan pentas, menyalakan semangat dalam kalangan penonton, seolah-olah satu gelombang tenaga positif tersebar ke seluruh stadium.

Persembahan mereka disertakan dengan tarian yang cukup lincah dan bersemangat hingga pengunjung bersorak dan turut serta menari bersama-sama.

Selepas selesai membuat persembahan, Ruffedge pula mengambil alih pentas dengan lagu hit mereka termasuk Tipah Tertipu, Da Bomb dan Lemas.

Meskipun sudah 26 tahun berada dalam industri, Ruffedge kelihatan masih relevan dan mendapat tempat di hati peminat apabila rata-rata pemuda yang hadir ke konsert berkenaan turut menyanyikan sama-sama lagu yang disampaikan oleh mereka.

Rasa nostalgia turut menyelubungi setiap persembahan, membawa peminat-peminat kembali ke zaman kegemilangan kumpulan-kumpulan yang pernah merajai industri muzik tempatan.

Acara tersebut kemudiannya diserikan lagi dengan persembahan band-band lokal negara dimulai dengan Insomniack yang menyanyikan sebanyak enam buah lagu termasuk Igauan Malam, Reminisensi, Belum Mulai, Teman, Sempurna dan Pulang.

Band seterusnya yang menghangatkan malam ialah Bunkface, yang mempersembahkan lagu-lagu mereka termasuk Malam Ini Kita Punya, Ekstravaganza dan Rentak Laguku.

Kemudian, kumpulan rock legenda, Spider pula membuat persembahan dengan lagu-lagu mereka yang cukup menggamit memori seperti Cinta Dewa Dewi, Mabuk, Tapi Bagaimana dan Relaku Pujuk.

Penonton tidak hanya menjadi saksi, tetapi turut hanyut bersama alunan irama dan lirik yang menyentuh jiwa, menjadikan suasana konsert lebih dari sekadar hiburan, dimana ia adalah perayaan jiwa Malaysia yang bersatu.

Konsert tersebut diakhiri dengan persembahan kumpulan Hujan yang menyampaikan sebanyak 10 buah lagu antaranya Pagi Yang Gelap, Empayarmu dan Aku Skandal.

Setiap persembahan menutup malam itu dengan rasa bangga dan kehangatan, membawa pulang bukan hanya kenangan lagu-lagu, tetapi juga pengalaman yang mengukuhkan semangat cinta kepada negara.

Anda Mungkin Berminat