1,501 Kandungan Eksploitasi Kanak-Kanak Berjaya Dihapus MCMC

PETALING JAYA: Sebanyak 1,501 kandungan jelik berkaitan eksploitasi kanak-kanak telah berjaya diturunkan hasil usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11).

Menurut satu kenyataan hari ini, tindakan itu hasil kerjasama erat antara MCMC, penyedia platform digital dan maklum balas daripada orang awam.

“Dari Januari hingga 15 Jun 2025, sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikenalpasti dengan 94 peratus (1,415 kandungan) berjaya diturunkan hasil kerjasama MCMC, penyedia platform digital dan aduan awam,” katanya.

MCMC memaklumkan bahawa pemantauan harian serta operasi khas seperti ‘Op Pedo’ yang dilaksanakan pada Disember 2024 telah membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) di beberapa negeri.

Tegas MCMC, penyebaran, penyimpanan dan pengkomersialan kandungan sedemikian merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda hingga RM1 juta, penjara lima tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, MCMC berkata, tindakan menghasilkan, berkongsi, menjual, membeli, mengakses dan memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak turut dilarang di bawah Seksyen 5 hingga 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sebagai langkah pencegahan yang menyeluruh, MCMC turut mempergiatkan usaha kesedaran melalui Kempen Internet Selamat (KIS) yang menyasarkan pelajar, ibu bapa dan komuniti.

“Salah satu objektif kempen ini menekankan larangan pemilikan akaun sosial media oleh kanak-kanak yang berumur 13 tahun dan ke bawah,” katanya.

MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemilik platform dan komuniti untuk bersama-sama membanteras jenayah ini.

“Setiap laporan awam akan membantu siasatan dan mencegah lebih banyak penganiayaan.

“Segera laporkan sebarang aktiviti dalam talian yang mencurigakan kepada MCMC melalui e-mel di [email protected], portal https://aduan.mcmc.gov.my, atau ke balai polis berhampiran,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat