PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa seramai 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya menerima tawaran ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengambilan terkini menerusi permohonan UPUOnline®.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua calon lepasan SPM 2024 yang telah mengemukakan permohonan melanjutkan pengajian,” menurut satu kenyataan, hari ini.
KPT berkata, tahun ini menyaksikan sebanyak 223,624 permohonan yang layak dikemukakan, dengan kadar penawaran mencapai 67.33 peratus.
Katanya, pecahan tawaran merangkumi 86,589 calon ke Universiti Awam (UA), 42,058 ke Politeknik, 20,427 ke Kolej Komuniti, dan 1,483 ke institusi MARA BPT.
“Menariknya, sejumlah 17,693 tempat ditawarkan menerusi Laluan Khas, termasuk kategori B40 (16,189), OKU (590), atlet (593), dan Orang Asli (321). Turut diraikan, seramai 43 calon daripada institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mendapat tempat.
“Secara keseluruhan, sebanyak 349 program pengajian ditawarkan, merangkumi 41 program Sijil, 55 Asasi, 252 Diploma dan 1 program Ijazah Sarjana Muda,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, pengambilan itu dilaksanakan berasaskan prinsip meritokrasi sepenuhnya.
Bagi calon yang tidak berjaya, peluang kedua masih terbuka menerusi proses rayuan UPUOnline® yang dibuka selama 10 hari, dari 16 Jun pukul 12 tengah hari hingga 25 Jun pukul 5.00 petang.