152 Warga Asing Ditahan Dalam Ops Selera, Ops Sapu di Cheras

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 152 warga asing dalam Ops Selera dan Ops Sapu di sebuah pusat beli-belah di Cheras, malam tadi, susulan aduan awam dan risikan berhubung pelanggaran undang-undang imigresen.

Operasi bermula itu disertai 112 pegawai Imigresen dari Ibu Pejabat Putrajaya, diketuai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli.

Menurut beliau, seramai 890 individu diperiksa sebelum 152 warga asing berusia 21 hingga 42 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, beberapa individu cuba melarikan diri sebaik operasi dijalankan, selain terdapat premis yang menggunakan ‘pengawal pintu’ bagi memberi amaran awal.

“Tindakan ini jelas untuk mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

“Kami akan terus mengesan, menangkap dan mengambil tindakan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan dan pemilik premis agar tidak melindungi PATI.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersubahat,” ujarnya lagi.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat