153 Fasiliti Kesihatan Sarawak Guna Sistem Digital CCMS – Dr Dzulkefly

GEDONG: Sektor kesihatan negara melangkah ke era baharu apabila sistem pengurusan klinik berasaskan awan, Cloud-Based Clinic Management System (CCMS), kini digunakan di 153 fasiliti kesihatan di Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, teknologi digital itu bukan lagi sekadar alat sokongan, sebaliknya menjadi teras utama dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan negara.

“Pelaksanaan CCMS menandakan satu perubahan besar dalam sistem kesihatan negara apabila teknologi kini menjadi tulang belakang kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, moden dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pendigitalan Klinik Kesihatan serta Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Sarawak, pada Khamis.

Menurut beliau, kejayaan itu mencerminkan pendekatan ‘Whole-of-Government’ hasil kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kejayaan ini adalah manifestasi jelas kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses perkhidmatan kesihatan digital yang berkualiti,” katanya.

Setakat ini katanya, lebih 250,000 rakyat telah direkodkan dalam sistem CCMS dalam tempoh singkat.

Kejayaan itu turut disertai dengan peningkatan kecekapan rawatan apabila 75 peratus pesakit menerima perkhidmatan dalam masa kurang 30 minit.

“Pencapaian merekodkan 250,000 pengguna serta pengurangan masa menunggu pesakit membuktikan keberkesanan pelaksanaan CCMS dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Dalam majlis sama, Dr Dzulkefly turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas sebanyak RM950,000 bagi menaik taraf fasiliti di Klinik Kesihatan Gedong demi keselesaan petugas dan pesakit.

Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari.

Anda Mungkin Berminat