Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Seramai 155 penerima daripada barisan kontinjen Malaysia Battalion (MALBATT) 850-12 dianugerahkan pingat berprestij iaitu Pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Medal).
Mereka terdiri daripada 20 pegawai, 134 anggota lain-lain pangkat serta seorang Pegawai tadbir dan Diplomatik.
Sesi penganugerahan yang penuh bermakna itu dilaksanakan dalam satu majlis istiadat penuhyang berlangsung di Kem Marakah, Lubnan.
Menerusi satu kenyataan Kementerian Pertahanan (MINDEF), istiadat perbarisan ‘Medal Parade’ diketuai Timbalan Komander Mallbatt 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus Bin Shah Budin selaku Ketua Perbarisan serta diringi oleh pancaragam dari Ghana Battalion (GHANBATT).
“Mendahului penerima pingat UN ialah Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi bin Haji Mohd Shalleh, sebagai simbol pengiktirafan tertinggi terhadap kepimpinan dan peranan utama beliau dalam pelaksanaan misi.
“Seterusnya, penyampaian pingat diteruskan kepada Pegawai-pegawai Kanan serta keseluruhan anggota lain-lain pangkat yang disempurnakan oleh Komander Sektor Barat UNIFIL, Brigadier General Nicola Mandolesi,” kata kenyataan itu.
Penyampaian pingat disempurnakan oleh Komander Sektor Barat UNIFIL, Brigadier General Nicola Mandolesi, serta turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Republik Lubnan, Tuan Yang Terutama (TYT) Azri Mat Yacob sebagai tanda sokongan dan penghargaan Kerajaan Malaysia terhadap peranan yang dimainkan oleh kontinjen negara dalam usaha keamanan antarabangsa.
“Penganugerahan Pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini merupakan pengiktirafan rasmi terhadap sumbangan anggota MALBATT 850-12 dalam mengekalkan keamanan serantau dan pelaksanaan misi antarabangsa dengan penuh profesionalisme serta dedikasi,” ujarnya.
MALBATT 850-12 telah memulakan penugasan di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) pada November 2024, ketika Lubnan berdepan fasa mencabar dari segi keselamatan akibat konflik di selatan negara serta ketegangan semasa serantau yang melibatkan Israel dan Iran.
“MALBATT 850-12 amat penting dalam menyokong usaha pengaman selaras dengan peranan UNIFIL untuk membantu Kerajaan Lubnan memperkukuh kawalan keselamatan dan melaksanakan pemantauan di kawasan tanggungjawab operasi.
“MALBATT turut berjaya menjalin kerjasama erat dengan Angkatan Tentera Lubnan (LAF) serta melaksanakan tugas mereka dengan baik,” tambahnya.
Kontinjen itu bukan sahaja melaksanakan misi tugas keselamatan dan pemantauan, namun turut melaksanakan pelbagai inisiatif kemanusian seperti perkhidmatan perubatan, agihan kotak makanan dan program menyantuni anak-anak yatim.
Baca juga:








