1,568 mangsa banjir dipindah ke 12 PPS di Kelantan

KOTA BHARU: Susulan hujan lebat, empat negeri dilanda banjir dengan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa bah paling tinggi.

Setakat 7.41 pagi tadi, seramai 1,568 penduduk daripada 632 keluarga telah dipindahkan ke 12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga jajahan terkesan.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat mencatat jumlah penduduk terjejas paling ramai dengan 629 individu daripada 267 keluarga, yang kini ditempatkan di dua PPS iaitu SK Sri Tumpat 2 dan SK Pengkalan Kubor 2.

Di Bachok, sebanyak 562 individu daripada 174 keluarga dipindahkan ke tiga PPS melibatkan SK Pauh Sembilan, SK Jelawat dan PPS terbaharu dibuka iaitu SK Pa’ Pura.

Sementara itu, Kota Bharu turut mencatat peningkatan jumlah penduduk terjejas dengan 377 individu daripada 190 keluarga kini berlindung di tujuh PPS.

Manakala di Terengganu pula, seramai 264 individu terkesan banjir di daerah Kuala Nerus setakat 7 petang semalam.

Seterusnya di Sarawak pula, 44 mangsa di Miri ditempatkan di satu PPS.

Negeri keempat terkesan banjir ialah Kedah dengan 36 penduduk dipindahkan ke tiga PPS di Kulim.

Anda Mungkin Berminat