KUALA LUMPUR: Sekumpulan 16 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil dengan kenyataan bersama mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan presiden parti dengan alasan kepimpinan baharu diperlukan segera untuk menyatukan semula parti dan mengembalikan keyakinan.
Mereka menegaskan bahawa Muhyiddin tidak lagi mampu membawa Bersatu ke arah kemenangan, meskipun jasa dan sumbangannya sebelum ini diakui.
“Tanpa menafikan jasa dan sumbangan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, hakikatnya beliau sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin ke arah kemenangan,” kata kenyataan kumpulan itu pada Jumaat.
Antara yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Zikri Hassan (Kangar), Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Turut serta ialah Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Kalam Salan (Sabak Bernam), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) serta Islahuddin Abas (Mersing).
Kumpulan itu turut mencadangkan agar Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin diberi mandat untuk mengambil alih peranan sebagai pemangku presiden bagi memastikan kelangsungan kepimpinan parti.








