PETALING JAYA: Lebih 16 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi mendapat akses kepada rawatan di hospital swasta, menerusi cadangan kerajaan yang membolehkan penggunaan sebahagian caruman Akaun 2 untuk membayar premium insurans kesihatan.
Cadangan itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menjelaskan bahawa langkah tersebut bersifat sukarela dan bertujuan meringankan beban rakyat terhadap kos rawatan kesihatan.
“16 juta ahli KWSP berpeluang menikmati rawatan hospital swasta menggunakan caruman mereka,” katanya ringkas dalam satu hantaran di media sosial.
Menerusi inisiatif itu, hanya sekitar satu peratus caruman Akaun 2 diperlukan dan tidak melibatkan sebarang bayaran tambahan daripada poket pencarum.
Ia juga berbeza daripada skim i-Lindung yang sedia ada kerana dijangka menawarkan perlindungan insurans kesihatan yang lebih menyeluruh.
Langkah ini turut mengambil inspirasi daripada sistem perlindungan sosial negara seperti Singapura dan merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kesihatan yang ditanggung sendiri oleh rakyat yang kini merangkumi sekitar 32 peratus daripada keseluruhan kos rawatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia bakal melancarkan inisiatif Rakan KKM pada suku ketiga tahun ini yang menyaksikan kerjasama strategik antara hospital awam dan swasta bagi mengoptimumkan penggunaan fasiliti sedia ada seperti dewan bedah dan katil rawatan.