PUTRAJAYA: Sejak dilancarkan pada tahun 2012, Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus memberi impak besar dalam melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja mahir menghafaz al-Quran tetapi juga cemerlang dalam pelbagai bidang profesional.
Setakat tahun ini, seramai 1,631 pelajar dari seluruh negara telah menerima manfaat daripada skim berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, sebanyak RM7 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program SPH tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sejak 2012 mencecah RM90 juta.
“Program ini berjaya melahirkan generasi huffaz yang bukan hanya menghafaz al-Quran tetapi juga mampu bersaing dalam pelbagai bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi, undang-undang dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, pencapaian para pelajar SPH membuktikan bahawa golongan huffaz berpotensi menjadi pemimpin masa depan yang berilmu, berintegriti dan berakhlak tinggi.
“Mereka bukan sekadar penghafaz, bahkan ‘al-Quran yang berjalan’ di muka bumi, cerminan insan seimbang antara ilmu dunia dan ukhrawi,” katanya.
Skim ini, jelas Naim, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan gagasan Transformasi al-Falah yang menekankan pembangunan modal insan unggul, insan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara secara menyeluruh.
Beliau turut menyeru agar para pelajar SPH terus mengekalkan kecemerlangan akademik dan akhlak dengan berpaksikan lima nilai utama yang menjadi teras pembentukan insan rabbani.
“Ilmu, integriti, itqan, ikhlas dan istiqamah — inilah nilai-nilai yang perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap penerima SPH,” katanya.








