18 Motosikal Disita, 12 Gagal Ujian Bunyi Dalam Operasi Trafik Dan Alam Sekitar

PETALING JAYA: Sebanyak 18 motosikal disita dalam satu Operasi Bersepadu Trafik bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang dijalankan di sekitar Verando Residence, Jalan PJS 5/27, semalam.

Operasi ini diketuai oleh P/DSP Amir Che Ya dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya (KBSPT), melibatkan dua pegawai dan 17 anggota trafik serta seorang pegawai dan sembilan anggota JAS Selangor.

Menurut kenyataan BSPT, sebanyak 150 motosikal dan 172 individu telah diperiksa sepanjang operasi.

“Daripada jumlah itu, 18 motosikal telah disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan khususnya pengubahsuaian komponen dan ekzos,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semua motosikal yang disita telah dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk menjalani ujian saringan bunyi oleh pihak JAS Selangor.

“Hasil ujian menunjukkan 12 motosikal gagal ujian tersebut dan telah dikenakan notis oleh JAS,” jelas kenyataan itu lagi.

Sepanjang operasi, sebanyak 101 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan peraturan jalan raya serta menjaga kesejahteraan pengguna.

Ia juga mencerminkan komitmen Polis Diraja Malaysia dan JAS dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan keselamatan dan pencemaran bunyi.

Anda Mungkin Berminat