18 Selamat, 1 Terkorban: Vesel Hampir Karam Di Timur Laut Pulau Perak

KUALA MUDA: Kesemua 19 kru sebuah vesel yang hampir karam pada Rabu berjaya ditemui dengan 18 daripadanya disahkan selamat manakala seorang lagi terkorban di perairan Timur Laut Pulau Perak, Kedah.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kejayaan itu dicapai selepas kapal KD Ledang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesan kesemua mangsa sebelum memberikan rawatan awal di lokasi.

“Mayat seorang lelaki turut dibawa naik untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

“KD Ledang tiba di Jeti TLDM MAWILA 3 sekitar pukul 6.00 pagi, di mana semua mangsa menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua 18 mangsa yang terselamat kemudiannya diserahkan kepada Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia bagi proses seterusnya.

Dalam pada itu, Romli menyampaikan ucapan takziah dan penghargaan atas kerjasama semua pihak.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan bersyukur kerana 18 yang lain berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas serta koordinasi semua agensi,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi pasukan penyelamat negara.

“Dengan kesemua mangsa telah ditemui, Op CARILAMAT kini ditamatkan sepenuhnya,” katanya.

Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat, sambil menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh respons keselamatan maritim negara.

Terdahulu, Operasi CARILAMAT diaktifkan pada Rabu selepas sebuah vesel membawa 19 kru dilaporkan hampir karam akibat cuaca buruk, sebelum pasukan penyelamat melancarkan gerakan mencari yang akhirnya membawa kepada penemuan semua mangsa.

Anda Mungkin Berminat