DHAKA: Kerajaan Myanmar mengesahkan seramai 180,000 pelarian Rohingya yang menetap di Bangladesh layak pulang ke tanah air, menurut kenyataan Pejabat Akhbar Kerajaan Bangladesh.
Jumlah itu adalah sebahagian daripada senarai 800,000 nama yang dihantar oleh Bangladesh kepada Myanmar dalam enam kelompok antara 2018 hingga 2020.
Myanmar turut memaklumkan pengesahan terhadap 70,000 nama lagi sedang menunggu semakan lanjut gambar dan butiran identiti, manakala proses pengesahan bagi baki 550,000 nama akan dipercepatkan.
Pengumuman tersebut dibuat selepas pertemuan di Bangkok antara delegasi tinggi Bangladesh yang diketuai Khalilur Rahman dan Timbalan Perdana Menteri Myanmar, Than Swe, sempena Sidang Kemuncak BIMSTEC ke-6.
Sehingga kini, lebih sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem pelarian di tenggara Bangladesh, iaitu penempatan pelarian terbesar di dunia dengan ramai antara mereka melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar sejak 2017.
Tahun lalu sahaja, sekitar 70,000 Rohingya menyeberang ke Bangladesh untuk lari daripada kebuluran dan konflik yang semakin meruncing di Negeri Rakhine.
Bagaimanapun, usaha penghantaran pulang sebelum ini gagal apabila ramai pelarian enggan kembali kerana bimbang terhadap keselamatan dan kemungkinan didakwa oleh pihak berkuasa Myanmar.