184 ditahan dalam Operasi Noda Khas dan Ops hibur di Johor

Seramai 184 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Noda Khas dan Ops Hibur yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar S.Muthuvelu berkata, operasi berkenaan menyasarkan serbuan ke atas premis yang menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen, memberi khidmat pelayan perempuan GRO warga asing dan penyalahgunaan dadah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 32 orang lelaki dan 152 orang perempuan, yang terbahagi kepada 22 warga tempatan dan 162 warga asing atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan raya, melanggar syarat lesen hiburan raya, mengambil kerja seseorang yang tidak memiliki pas yang sah, salah guna pas kerja, masuk ke Malaysia tanpa permit yang sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“18 orang lelaki dan 30 wanita pula ditahan selepas ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan.

Kumar turut menyatakan pelbagai perkakasan hiburan dirampas untuk tujuan siasatan termasuk pemain DVD, komputer riba, alat pembesar suara dan mikrofon.

Pelbagai kesalahan berikut disiasat mengikut Seksyen 6(2) dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1969/63.

Bagi kesalahan penyalahgunaan dadah pula, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kesemua warga tempatan yang ditahan akan direman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah manakala warga asing yang ditahan akan direman bawah Akta Imigresen 1959/63.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat