19 Ketua Cabang PKR Johor gesa tindakan disiplin terhadap 9 Ahli Parlimen desak RCI

KUALA LUMPUR: Seramai 19 Ketua Cabang PKR di Johor menggesa tindakan tatatertib termasuk penggantungan keahlian sementara terhadap sembilan Ahli Parlimen parti itu susulan tindakan mereka mengadakan sidang media secara terbuka bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan badan kehakiman.

Dalam kenyataan bersama malam tadi, mereka menyifatkan tindakan kesemua Ahli Parlimen itu melanggar disiplin dan bertentangan dengan Kod Tataetika Anggota PKR di bawah Perkara 10.1 dan 10.2.

“Kami mewakili akar umbi PKR dari seluruh negara memandang serius tindakan sembilan Ahli Parlimen Keadilan yang mengadakan sidang media terbuka ketika Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dalam lawatan kerja di luar negara.

“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan imej dan disiplin parti, malah memberi persepsi negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta membuka ruang manipulasi politik oleh pihak lawan,” menurut kenyataan itu.

Mereka menegaskan bahawa sebarang isu melibatkan dasar atau pentadbiran negara seharusnya disalurkan melalui saluran dalaman seperti Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah Ketua Cabang PKR Mersing, Khairil Adanan; Ketua Cabang PKR Bakri, Mohd Ysahruddin Kusni; Ketua Cabang PKR Pengerang, Mohd Faizul Abd Ghani; serta 16 Ketua Cabang lain termasuk dari Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Tebrau, Pontian, Kluang dan Pulai.

Manakala sembilan Ahli Parlimen PKR yang terlibat dalam desakan penubuhan RCI itu ialah Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), dan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang). Dua lagi Ahli Parlimen, S Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat), turut menyatakan sokongan terhadap pendirian tersebut walaupun tidak hadir dalam sidang media berkenaan.

Menurut Ketua Cabang terbabit, walaupun mereka tidak menolak keperluan menjaga integriti institusi kehakiman, pendekatan yang diambil oleh sembilan Ahli Parlimen itu tetap melangkaui batas disiplin parti.

Kenyataan itu turut merujuk Perkara 10.1 Perlembagaan PKR yang mengkehendaki ahli mematuhi perlembagaan dan kod etika, menghormati keputusan parti serta menjaga nama baik parti. Perkara 10.2 pula melarang sebarang tindakan sabotaj, kenyataan tidak benar, atau sebarang tindakan yang menyalahi peraturan parti.

“Sehubungan itu, kami mendesak Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Fuziah Salleh, agar segera menggantung keahlian sementara semua Ahli Parlimen terbabit dan memulakan siasatan tatatertib secara menyeluruh oleh Jawatankuasa Disiplin.

“Tindakan tegas ini penting untuk memelihara kewibawaan dan disiplin parti, serta mengelakkan persepsi buruk terhadap perpaduan dan integriti PKR,” tegas mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat