KUALA LUMPUR: Seramai 193 daripada 205 orang pekerja Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) yang ditamatkan perkhidmatan pada 31 Mac lalu telah diserap ke dalam syarikat baharu iaitu LSH Service Masters Sdn Bhd (LSHMSM).
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kementerian telah meminta syarikat baharu ini mengambil semula pekerja MKLSB kerana mereka telah lama berkhidmat dan lebih mengetahui selok-belok bangunan itu.
“Ada yang telah berkhidmat 17, 20 tahun… jadi mereka telah lama bekerja di situ.
“Maka syarikat baru (LSHMSM) telah menawarkan dengan syarat ‘no less favourable’, (maksudnya) kalau gaji mereka tahap itu dengan syarikat yang lama, tidak boleh kurang daripada apa yang mereka terima daripada syarikat terdahulu dan ini telah diuruskan oleh syarikat baharu,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita dalam taklimat mingguan beliau sebelum menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Angkasapuri Media City pada Khamis.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi memaklumkan Bangunan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Mengulas mengenai kenyataan itu, Fahmi berkata, Menara KL kini berada dalam keadaan yang kurang memuaskan dan memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih sebelum ia boleh dibuka semula kepada orang awam.
“Pasukan dari kementerian bersama orang ramai yang baru-baru ini melawat Menara KL mendapati keadaan bangunan itu tidak berada dalam tahap yang baik.
“Berdasarkan video dan gambar yang kami terima, banyak kelengkapan, dapur, serta restoran berputar di menara itu berada dalam keadaan tidak baik dan tidak selesa untuk pengunjung.
“Malah, kami turut melihat ada bahagian pagar di dek pemerhatian yang terdedah dan diturunkan. Ini amat membimbangkan dan kita telah meminta syarikat pengendali baharu untuk segera melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih, terutamanya melibatkan aspek keselamatan,” katanya.
Beliau turut mengulangi bahawa Menara KL adalah milik penuh Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi sebelum ini, MKLSB telah diarah keluar selepas kontraknya tamat pada 31 Mac lalu namun enggan mengosongkan premis.
“Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah meneliti isu ini dan berdasarkan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, ada asas dan proses telah dilalui untuk membolehkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan memasuki premis tersebut bagi membolehkan syarikat baharu menguruskan operasi menara ini,” jelasnya.
Fahmi berkata, terdapat beberapa isu yang perlu segera diberi perhatian dan tindakan.
Tarikh baharu pembukaan semula Menara KL akan diumumkan selepas kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan selesai dijalankan.
Untuk rekod, LSHSM telah dianugerahkan konsesi selama 20 tahun bermula 1 April untuk mengendalikan Menara KL selepas tempoh konsesi MKLSB tamat pada 31 Mac lalu.