KUALA LUMPUR: Sebuah unit JPMorganChase di Switzerland dikenakan denda tiga juta franc Swiss (RM15.7 juta) berhubung peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam masa sama, kerajaan Malaysia mengumumkan penyelesaian bernilai RM1.4 bilion dengan firma itu bagi melunaskan semua isu tertunggak berkaitan kes tersebut.
Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) dalam kenyataan berkata, JP Morgan (Switzerland) Ltd didapati gagal menjelaskan dengan tepat hubungan perniagaan dua pengurusnya dengan syarikat Petrosaudi, selain tidak mengambil langkah wajar meskipun terdapat dakwaan penglibatan dalam penipuan 1MDB.
“Urus niaga antara 7 Okt 2014 dan 21 Julai 2015 berlaku akibat kegagalan organisasi JP Morgan Suisse yang tidak menghalang aktiviti pengubahan wang haram,” jelas OAG.
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pula memaklumkan, JPMorganChase akan menyumbang RM1.4 bilion kepada Akaun Amanah Pemulihan Aset tanpa pengakuan liabiliti, dan kedua-dua pihak bersetuju menarik balik semua rayuan berkaitan saman 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Perjanjian ini melunaskan semua tuntutan sedia ada dan potensi tuntutan pada masa depan berkaitan 1MDB,” menurut kenyataan MOF.
OAG menjelaskan jumlah denda mengambil kira kerjasama baik JPMorgan Suisse dalam prosiding serta pampasan yang dibayar kepada 1MDB.
Setakat ini, 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd, memfailkan beberapa saman terhadap pelbagai firma dan individu dengan tuntutan bernilai AS$23 bilion (RM94.4 bilion). Namun, sebahagian daripadanya telah digugurkan, termasuk kes sivil terhadap bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail, dan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Awal tahun ini, 1MDB turut menarik balik saman AS$248 juta terhadap anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, dan syarikatnya, Red Granite, sebagai sebahagian daripada usaha penyelesaian global bagi mendapatkan semula dana yang diseleweng.
Baca juga: