1MDB: Keputusan Kes Najib Ditetapkan 26 Disember

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 26 Disember ini bagi menyampaikan keputusan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Ia selepas perbicaraan berlarutan selama 302 hari dalam tempoh tujuh tahun.

Bekas Perdana Menteri itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang kini dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, menetapkan tarikh keputusan tersebut meskipun pihak pembelaan belum selesai mengemukakan hujahan balas.

“Pihak pembelaan boleh meneruskan hujahan pada 4 November ini… saya tahu ia mungkin berlanjutan ke hari tersebut. Namun, saya nyatakan di sini bahawa keputusan akan saya sampaikan pada 26 Disember,” katanya, memetik berita tempatan.

Terdahulu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan meneruskan hujahan selepas solat Jumaat, namun permohonan itu ditolak oleh hakim kerana mempunyai urusan lain.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat