1MDB: Mahkamah putuskan naratif surat derma Arab Najib palsu

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Putrajaya hari ini menolak pasukan pembelaan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bahawa surat derma Arab yang diterimanya adalah palsu dan tidak tulen.

Ketika membacakan keputusan mahkamah pada Jumaat, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berkata, keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan berkaitan naratif Najib Razak berhubung dana tersebut sebagai derma Arab adalah tidak munasabah.

“Tingkah laku tertuduh tidak selari dengan norma kebiasaan manusia, lebih-lebih lagi apabila melibatkan jumlah wang yang begitu besar,” katanya.

Tegas beliau, tiada bukti menunjukkan wujud sebarang pengesahan bertulis atau penghargaan rasmi berhubung penerimaan dana tersebut.

“Tiada sepucuk surat pun yang menunjukkan pengakuan penerimaan atau penghargaan rasmi daripada tertuduh.

“Tiada pengesahan dibuat terhadap sumber dana.

“Tiada bukti dokumentari yang mengaitkan wang itu dengan Raja Abdullah atau keluarga diraja Arab Saudi.

“Namun tertuduh terus menggunakan dana itu walaupun asal-usulnya kabur,” ujar beliau.

Mengulas dakwaan bahawa bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo, telah mereka keterangan mengenai salah satu surat derma Arab, Hakim Sequerah menolak hujahan itu dengan tegas.

“Mahkamah ini mendapati terdapat bukti kukuh bahawa semua surat derma Arab, termasuk surat keempat, adalah tidak tulen,” katanya.

Justeru katanya, pihak pembelaan Najib Razak gagal menunjukkan bahawa mana-mana surat derma Arab itu adalah tulen atau boleh dipercayai.

Sehubungan itu, hakim menegaskan pembelaan derma Arab gagal menangkis anggapan suapan di bawahh Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pembelaan ini gagal untuk mematahkan anggapan suapan bagi semua empat pertuduhan salah guna kuasa,” katanya.

Malah, mahkamah juga mendapati Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

“Tiada keraguan munasabah berjaya ditimbulkan terhadap pertuduhan pengubahan wang haram,” tegas beliau.

Berhubung dakwaan bahawa dana 1MDB digunakan bagi tujuan politik, Hakim Sequerah menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“Adalah sukar dipercayai bahawa seorang Perdana Menteri dan ketua parti pemerintah tidak mempunyai sebarang rekod perakaunan bagi dana yang kononnya digunakan untuk tujuan politik,” katanya.

Katanya dalam pembacaan keputusan Mahkamah selama lebih sejam itu, Hakim Sequerah menyatakan walaupun dana itu dikatakan sebagai sumbangan politik, ia tidak sama sekali menghalalkan penggunaannya jika ia berpunca daripada sumber yang tidak sah.

Justeru, Hakim Sequerah memutuskan pembelaan derma Arab tidak boleh diterima.

“Mahkamah ini mendapati pembelaan derma Arab adalah tidak berasas dan tidak munasabah,” katanya.

Hari ini menjadi penentu nasib Najib Razak sama ada terdapat penutup kes prosiding di Mahkamah Tinggi atau permulaan kepada fasa hukuman yang lebih berat terhadap Najib Razak.

Sebelum ini, media melaporkan, Najib Razak dihadapkan dengan empat pertuduhan kes rasuah yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Bagi 21 kes AMLA pula, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat