Dua buah rumah musnah terbakar di Kampung Tok Keramat

Dua buah rumah terbakar kira-kira 60 peratus dalam kejadian yang berlaku pukul 12.54 tengah hari di Kampung Tok Keramat, Bukit Tengah, Pulau Pinang pada Isnin.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PBK II (KUP) Amirul Hamzah Ali melaporkan kebakaran melibatkan dua buah rumah kelas B di kawasan berkenaan.

Amirul Hamzah turut berkata, dua buah rumah tersebut masing-masing berkeluasan 40×60 kaki persegi dan 20×15 kaki persegi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden kebakaran tersebut dan anggota bomba yang turut serta dalam operasi ini diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 1.38 petang dan pemadaman sepenuhnya dilaksanakan pada pukul 1.54 petang,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan bomba kemudiannya melakukan kerja-kerja overhaul untuk memastikan tiada mara bahaya yang lain dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.31 petang.

Operasi tersebut melibatkan seramai 17 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, BBP Bandar Perda dan BBP Bukit Mertajam bersama jentera FRT, RRV dan EMRS.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat