Dua kanak-kanak lelaki ditemui lemas ketika bermandi-manda di Pantai Teluk Lipat, Dungun pada Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Mohd Zaiharis Sandar berkata, mangsa berusia sembilan dan 11 tahun itu ditemukan pasukan penyelamat pada jarak dan waktu yang berasingan dari lokasi terakhir mereka dipercayai lemas.
“Semasa kejadian, tiga orang rakan berusia sembilan hingga 11 tahun sedang mandi-manda bersama di pantai berkenaan sebelum dua daripadanya dipercayai lemas akibat dibawa arus deras.
“Seorang rakannya yang berusia 11 tahun ketika itu selamat kerana tidak dibawa arus selain berada di kawasan yang tidak dalam”, katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Zaiharis berkata, mangsa yang berusia sembilan tahun itu ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4.57 petang kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir dia dipercayai lemas, manakala seorang lagi dijumpai pukul 6.24 petang kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir.
Mohd Zaiharis berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, seramai 22 anggota dari BBP Dungun termasuk anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.22 petang.








