PETALING JAYA: Tarikh 2 September 1998 yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan dan dipenjara, kekal sebagai titik penting dalam sejarah politik negara apabila ia mencetuskan kebangkitan gerakan reformasi.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, berkata tarikh berkenaan bukan sekadar mengingatkan rakyat terhadap peristiwa hitam, sebaliknya menjadi simbol lahirnya keberanian menuntut keadilan.
“Pada hari itu seorang pemimpin dihumban ke penjara, namun dari luka lahir kekuatan. Dari penindasan lahir keberanian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata perjuangan Anwar dalam menentang ketidakadilan sebenarnya bermula lebih awal, sejak zaman sekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) apabila menubuhkan Badan Revolusi Ugama dan menggerakkan pelbagai usaha membantu anak kampung.
Katanya, semangat itu diteruskan di universiti apabila Anwar aktif dalam gerakan mahasiswa seperti ABIM dan PKPIM, selain mengetuai demonstrasi Baling 1974 menentang kemiskinan.
“Jeritan reformasi yang lahir pada 1998 akhirnya menjadi asas penubuhan Parti Keadilan, wadah perjuangan rakyat menuntut masa depan Malaysia yang lebih adil,” katanya.
Fuziah menegaskan, perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan adalah perjalanan panjang yang menuntut keberanian serta kesabaran.
“Kalau takut dengan risiko, usah bicara tentang perjuangan,” katanya memetik kata-kata Anwar.
Baca juga:







